Ringgit catat paras tertinggi sejak 9 tahun
Oleh JOHARDY IBRAHIM
KUALA LUMPUR 6 Feb. – Ringgit hari ini, mencatat pening- katan nilai
tertingginya dalam tempoh sembilan tahun iaitu pada paras 3.4955
berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS$1).
Paras tertinggi itu dicatat semasa urusniaga pada sebelah pagi,
sebelum ditutup melepasi paras halangannya pada RM3.50 berbanding AS$1.
Ia merupakan kali pertama ringgit mencecah 3.4955/4980 berbanding
dengan penutup semalam pada 3.5000/5005 iaitu kenaikan 0.13 peratus.
Ringgit ditambat pada RM3.80 berbanding AS$1 berikutan krisis
kewangan serantau pada 1997/1998, dan kerajaan menarik balik tambatan
itu, pada pertengahan tahun 2005.
Sejak itu, ringgit telah menyaksikan peningkatan nilainya kepada
hampir sembilan peratus berbanding dolar AS, menjadikan ia mata wang
kedua terbaik di kalangan 15 negara di Asia Pasifik.
Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) juga mencatat paras tertinggi
untuk hari keenam berturut-turut dengan hari ini ia naik 0.9 peratus
kepada 1,236.63 mata, yang kali terakhir dicatat pada pertengahan Mac
1997.
Penganalisis ekonomi berkata, kemasukan dana dari luar negara ke
dalam pasaran modal Malaysia, turut menjadi faktor pendorong IKKL
meraih 118 mata sejak awal tahun ini dan sekali gus, mengukuhkan
ringgit.
Selain itu, para pelabur juga menyambut positif kenyataan Gabenor
Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar)
bahawa kenaikan nilai ringgit adalah teratur dan tidak menjejaskan
eksport.
Menurutnya, BNM gembira dengan prestasi ringgit dan pasaran pertukaran wang asing yang teratur.
Katanya, satu daripada kekuatan ekonomi Malaysia ialah keanjalannya
dan ini telah ditunjukkan oleh keupayaannya menyesuaikan dengan keadaan
yang berubah.
‘‘Ringgit telah meningkat nilai, tetapi pergerakan adalah aliran dua
hala di mana mata wang tempatan kadang kala naik dan pada ketika lain
turun.
‘‘Pada peringkat ini, kita tidak melihat ia akan menjejaskan eksport.
‘‘Dasar kita sentiasa konsisten, sejak awal dulu lagi iaitu kita
akan memastikan persekitaran yang teratur dalam pasaran tukaran mata
wang asing kita dan ini sangat penting untuk menyokong pengeksport,’’
katanya.
Dr. Zeti berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan
ucaptama pada majlis perkongsian strategik Credit Guarantee Corporation
(CGC) dengan lapan institusi kewangan Islam, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pengukuhan ringgit dengan mencatat paras
tertinggi pada 3.4955 berbanding satu dolar AS, pada sebelah pagi.
Meskipun ringgit yang mengukuh memberi kesan positif kepada ekonomi
negara, penganalisis ekonomi bimbang pada masa yang sama ia juga boleh
menjadikan kos eksport Malaysia menjadi mahal.
Sumber : Utusan Online, Ekonomi (7 Februari 2007)